SIK, 18 Julai – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan memberi keutamaan terhadap penambahbaikan fasiliti sukan di kawasan luar bandar, selari dengan aspirasi golongan belia di seluruh negara.
Timbalan Menterinya, Adam Adli Abd Halim berkata keperluan bagi kemudahan sukan di kawasan luar bandar berbeza mengikut lokasi, dan memerlukan perancangan teliti agar pelaksanaannya dapat dibuat secara berkesan.
“Yang mana kita mampu untuk selesaikan di bawah kapasiti Kementerian Belia dan Sukan, kita akan selesaikan. Yang kedua, kita akan panjangkan hasrat, aduan dan keperluan mendesak ini kepada setiap kementerian yang berkaitan. Kita ada banyak interaksi dengan golongan belia dan segala hasrat mereka akan disampaikan secara terus,” katanya.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Sesi Townhall Program Kembara Jumpa Orang Muda (Kembara JOM) 2.0 Tahun 2025 Zon Utara, di Kolej KEDA, di sini.
Program Kembara JOM Zon Utara, yang berlangsung selama tiga hari dua malam dari 17 hingga 19 Julai, diadakan di Desa KEDA Sungai Senam dengan menggunakan pendekatan konsep anak angkat, memberikan pengalaman baharu kepada lebih 90 peserta dari seluruh utara tanah air.
Program itu turut akan diteruskan ke beberapa negeri lain, termasuk Perak, Sabah, Sarawak, Pahang dan Melaka, sebagai kesinambungan usaha KBS memperkasa pembangunan belia di seluruh negara.
Pada majlis yang sama, turut disampaikan sijil pendaftaran pertubuhan belia kepada Kelab Belia Inspirasi Alor Setar (Kedah) dan Kelab Rakan Muda Indera Kayangan (Perlis).
Sementara itu, Majlis Belia Daerah Yan, Kubang Pasu dan Pendang masing-masing menerima pengiktirafan lima bintang daripada KBS atas komitmen dan kecemerlangan dalam menggerakkan program pembangunan belia di peringkat daerah.