TALLINN, 18 Julai – Pelumba muda dari Sweden, Oliver Solberg, mencipta sensasi dalam saingan Kejuaraan Rali Dunia (WRC) apabila muncul pendahulu keseluruhan selepas mencatat kemenangan dramatik pada peringkat pembukaan Rali Estonia.
Solberg, yang menerima peluang saat akhir untuk memandu jentera Toyota Rally1, mengejutkan ramai apabila menamatkan peringkat paling panjang hari itu, Peipsiääre, dengan kelebihan 5.3 saat menewaskan juara dunia bertahan, Kalle Rovanpera.
Kemenangan itu melonjakkan Solberg ke kedudukan teratas keseluruhan dengan catatan masa mendahului pelumba Hyundai, Thierry Neuville, dengan kelebihan 3.8 saat.
Neuville, yang menjuarai perlumbaan superspecial malam Khamis, sedikit tercicir dalam Peringkat 2, namun masih berada di tangga kedua dengan kelebihan 0.7 saat di hadapan Rovanpera dalam perebutan tempat kedua.

Foto Reuters
Pelumba tuan rumah, Ott Tanak, mengekori rapat di tangga keempat, hanya 7.6 saat di belakang Solberg, manakala rakan sepasukan Solberg di Toyota, Takamoto Katsuta, di tempat kelima tetapi bergelut dengan masalah understeer dan kurang keyakinan sepanjang pusingan.
Elfyn Evans, yang kini mendahului kejuaraan WRC, turut berdepan cabaran apabila terpaksa menjadi pelumba pertama memulakan perlumbaan, menyebabkan beliau berpusing di salah satu selekoh awal.
Pelumba dari Wales itu menamatkan hari pertama di tempat keenam, 0.5 saat di belakang Katsuta.
Katsuta turut menghadapi isu komunikasi dalam kereta tetapi berjaya menamatkan pusingan tanpa insiden besar.
Sementara itu, pelumba M-Sport, Adrien Fourmaux, mengakui terlalu berhati-hati sehingga kehilangan lebih 10 saat berbanding pesaing utama.
Saingan Rali Estonia akan bersambung pada Sabtu dengan beberapa peringkat mencabar di laluan berbatu (gravel) yang dijangka menguji kemahiran dan ketahanan semua pelumba. -REUTERS