fb fb fb fb fb

Bryan Mbeumo sertai Manchester United dengan nilai £65 juta

Bryan Mbeumo / Foto AFP

LONDON, 18 Julai – Manchester United bersetuju menandatangani pemain sayap Cameroon, Bryan Mbeumo, dari Brentford dalam satu perjanjian bernilai £65 juta (AS$87 juta), sebagai sebahagian daripada usaha pengurus, Ruben Amorim, untuk merombak jentera serangan pasukan.

Mbeumo, 25, mencuri perhatian Amorim selepas meledak 20 gol dalam 38 penampilan Liga Perdana Inggeris musim lalu.

United juga akan membayar tambahan £6 juta dalam bentuk insentif, bergantung kepada prestasi pemain itu bersama kelab.

Tottenham Hotspur, yang kini dikendalikan bekas pengurus Brentford, Thomas Frank, turut cuba mendapatkan Mbeumo, namun dua bidaan awal United yang ditolak berjaya diperbaiki dengan tawaran muktamad yang diterima Brentford.

Mbeumo menjadi pemain ketiga dibawa masuk oleh Amorim sejak tamat musim lalu, selepas United menandatangani Matheus Cunha dari Wolves dengan nilai £62.5 juta, dan pertahanan muda Paraguay, Diego Leon.

1807 PORTAL SKN LNR MAN UTD BRENTFORD 1
Foto AFP

Kemasukan Mbeumo dilihat sebagai elemen penting dalam usaha Amorim membina semula barisan serangan Red Devils, selepas kempen mengecewakan musim lalu yang menyaksikan mereka tumbang 0-1 kepada Tottenham dalam final Liga Europa serta sekadar menamatkan liga di tangga ke-15, pencapaian terburuk sejak musim 1973–74.

Dua penyerang utama, Rasmus Hojlund dan Joshua Zirkzee, gagal memberikan impak konsisten, manakala Alejandro Garnacho dilaporkan telah diminta mencari kelab baharu.

Marcus Rashford dan Jadon Sancho pula dijangka meninggalkan kelab secara tetap selepas tamat pinjaman masing-masing di Aston Villa dan Chelsea.

Mbeumo, pemain yang terkenal dengan kepantasan, kreativiti dan penyudah klinikal, dilihat sebagai pilihan serba boleh kerana mampu beraksi di bahagian sayap mahupun di posisi penyerang tengah.

Sejak menyertai Brentford dari kelab Perancis, Troyes, pada 2019, Mbeumo telah menjaringkan 70 gol dan mencipta 51 bantuan jaringan dalam 242 penampilan merentasi semua kejohanan.

Beliau turut membantu Brentford mara ke Liga Perdana Inggeris pada 2021 dan menjadi tonggak utama dalam kejayaan kelab itu menamatkan musim 2024–25 di kedudukan ke-10 liga. -AFP

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN