fb fb fb fb fb

Malaysia B-23 bangkit, belasah Brunei 7-1

Aksi kemenangan skuad bola sepak bawah 23 tahun negara dalam perlawanan kedua kempen Kejohanan Piala ASEAN B-23 2025 menentang Brunei Darussalam di Stadium Gelora Bung Karno, di Jakarta / Foto Bernama

JAKARTA, 18 Julai - Skuad Bawah 23 Tahun (B-23) negara kembali menghidupkan peluang untuk memburu slot ke separuh akhir Piala ASEAN B-23 apabila membelasah Brunei 7-1 dalam aksi kedua Kumpulan A di Stadium Gelora Bung Karno, di sini hari ini.

Percaturan ketua jurulatih Nafuzi Zain, yang melakukan lima pertukaran daripada kesebelasan utama ketika tewas 0-2 kepada Filipina pada aksi pertama Selasa lepas, ternyata membawa perubahan apabila anak buahnya tampil lebih kemas dan bertenaga.

Malaysia tidak menunggu lama apabila membuka tirai jaringan seawal minit ketiga menerusi Muhammad Danish Syamer Tajuddin, sebelum pertahanan Brunei tertampan bola ke gawang sendiri seminit kemudian, menjadikan kedudukan 2-0.

Pesta gol diteruskan apabila Mohammad Haykal Danish Mohd Haizon mencetak gol ketiga pada minit ke-32, disusuli jaringan Muhammad Haqimi Azim Rosli lapan minit kemudian bagi mengesahkan kelebihan 4-0 pada babak pertama.

1807 SKN PIALA ASEAN B 23 2Foto Bernama

Danish Hakimi Sahaludin menambah derita Brunei dengan jaringan kelima pada minit ke-69 hasil tekanan berterusan yang memaksa pertahanan lawan melakukan kesilapan.

Brunei bagaimanapun berjaya memperoleh gol sagu hati menerusi Muhammad Haziq Naqiuddin Syamra pada minit ke-74, namun skuad negara pantas membalas dua minit kemudian menerusi sepakan kencang Fergus Tierney.

Haqimi sekali lagi mencuri tumpuan apabila menjaringkan gol kedua peribadinya pada minit ke-89, sekali gus menoktahkan kemenangan besar 7-1 buat Malaysia.

Kemenangan itu membolehkan Malaysia mengutip tiga mata berharga dan kini bakal menentukan nasib ke separuh akhir dengan syarat wajib menewaskan pasukan tuan rumah Indonesia pada aksi terakhir Kumpulan A , Isnin ini.

Tiga juara kumpulan dan hanya satu naib juara terbaik daripada tiga kumpulan yang akan melangkah ke separuh akhir. -BERNAMA

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN