TALLINN, 19 JULAI – Pemandu muda Sweden, Oliver Solberg mencipta kejutan apabila menamatkan hari kedua Rali Estonia selaku pendahulu keseluruhan dalam saingan pusingan kelapan Kejuaraan Rali Dunia (WRC) pada Jumaat.
Solberg, 23, yang merupakan anak kepada juara dunia WRC 2003, Petter Solberg, diberi peluang istimewa oleh pasukan Toyota untuk beraksi dalam kategori utama WRC1 bagi acara ini.
Beliau kini mendahului kejuaraan dunia kategori WRC2.
Solberg memenangi tiga daripada lapan peringkat khas perlumbaan (SS2, SS4 dan SS7), membolehkannya mendahului pelumba tuan rumah, Ott Tanak (Hyundai) dengan kelebihan 12.4 saat. Tanak pula memenangi SS3 dan SS5.
“Hari ini antara hari terbaik dalam hidup saya,” kata Solberg yang teruja dengan pencapaian tersebut.
Sementara itu, pendahulu kejuaraan dunia, Elfyn Evans (Toyota) menamatkan hari kedua di tempat ketujuh ketinggalan 41.4 saat.
Pelumba dari Wales itu perlu mengutip seberapa banyak mata di Estonia bagi menjarakkan kelebihan sembilan mata ke atas pencabar terdekat, Sebastien Ogier.
Ogier, juara dunia lapan kali, tidak menyertai semua perlumbaan musim ini dan tidak bertanding di Estonia. - AFP.