fb fb fb fb fb

Madueke sertai Arsenal dengan nilai perpindahan £48 juta

Penyerang Chelsea FC, Noni Madueke , mengawal bola ketika menentang SE Palmeiras pada separuh masa kedua dalam perlawanan suku akhir Piala Dunia Kelab FIFA 2025./Foto REUTERS

LONDON, 19 Julai – Arsenal mengesahkan ketibaan pemain sayap England, Noni Madueke dari Chelsea menerusi kontrak jangka panjang.

Meskipun terma kewangan tidak diumumkan secara rasmi, media Britain melaporkan perpindahan itu bernilai sekitar £48 juta atau (RM293 juta), dengan tambahan £4 juta sebagai bonus prestasi.

Madueke, 23, menandatangani kontrak selama lima tahun bersama The Gunners.

Madueke menyertai Chelsea dari kelab Belanda, PSV Eindhoven pada Januari 2023 dan telah membuat 92 penampilan dalam semua kejohanan, menjaringkan 20 gol serta mencipta sembilan bantuan gol.

Dilahirkan di Barnet, London utara, Madueke memulakan kariernya di akademi Crystal Palace sebelum menyertai Tottenham Hotspur dan kemudian berpindah ke PSV pada usia 16 tahun.

“Saya memang tenang menanti lampu hijau. Bila saya datang ke sini hari ini, semuanya terasa nyata. Saya sangat gembira dan bangga, ini detik istimewa buat saya,” kata Madueke.

“Rasa seronok dapat pulang ke kampung halaman, bersama ibu bapa saya. Saya tahu ibu sangat rindukan saya di rumah.”

Madueke terkenal dengan larian pantas dan kemampuan menggelecek secara langsung. Beliau sering beraksi di posisi sayap kanan ketika bersama Chelsea, namun turut mampu beraksi di sebelah kiri.

Kehadiran Madueke memberi pilihan tambahan buat pengurus Mikel Arteta, terutama dalam usaha mengurangkan beban fizikal ke atas Bukayo Saka dan Gabriel Martinelli, dua tonggak utama Arsenal yang pernah mengalami kecederaan hamstring serentak musim lalu.

“Noni menyertai skuad kami bersama rakan sepasukan England yang lain serta pemain yang sudah dikenalinya. Ketibaannya akan meningkatkan lagi kekuatan pasukan,” kata Arteta.

“Pada usia 23 tahun, Noni sudah memiliki pengalaman beraksi di peringkat kelab dan antarabangsa, serta biasa dengan saingan Liga Perdana. Kami teruja dengan kualitinya", ujar Arteta lagi.

Arsenal dijadual membuka tirai musim baharu Liga Perdana Inggeris musim 2025-26 dengan perlawanan menentang Manchester United pada 17 Ogos.- REUTERS

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD