fb fb fb fb fb

Arnold yakin Iraq mampu layak ke Piala Dunia 2026

Foto REUTERS

BAGHDAD, 19 Julai – Ketua jurulatih Iraq, Graham Arnold optimis bahawa beliau mampu membawa negara itu ke Piala Dunia buat kali pertama dalam tempoh 40 tahun selepas undian meletakkan Iraq bersama Arab Saudi dan Indonesia dalam fasa keempat kelayakan Asia untuk Piala Dunia 2026.

Ketiga-tiga pasukan akan bertemu dalam perlawanan kumpulan yang dijadual berlangsung di Jeddah pada bulan Oktober, dengan juara kumpulan layak secara automatik ke kejohanan yang akan berlangsung di Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico.

Arnold, bekas jurulatih Australia yang menggantikan Jesus Casas pada Mei lalu, akan cuba membawa Iraq kembali ke pentas Piala Dunia selepas penampilan terakhir negara itu di Mexico 1986.

“Saya mempunyai banyak pengalaman berdepan pasukan kebangsaan Arab Saudi dan Indonesia.

"Saya tahu kekuatan mereka, dan saya juga tahu kelemahan mereka,” kata Arnold.

“Tetapi kami adalah Iraq, sebuah negara yang sangat berbangga dengan kedudukan ranking FIFA yang lebih tinggi daripada kedua-dua pasukan itu, dan kami perlu membuktikannya", ujar Arnold.

Pencapaian terbaik Arnold setakat ini ialah ketika membawa Australia mara ke pusingan 16 terbaik pada Piala Dunia 2022, sebelum disingkirkan oleh juara akhirnya, Argentina.

Beliau meletakkan jawatan sebagai jurulatih Australia pada September tahun lalu selepas seri tanpa jaringan menentang Indonesia di Jakarta.

Kali terakhir, jurulatih berusia 61 tahun itu menentang Arab Saudi pada Mac 2022, apabila skuad Australia kendaliannya tewas 1-0 dalam aksi kelayakan Piala Dunia di Stadium Bandar Sukan King Abdullah, venue sama yang bakal menyaksikan pertembungan Iraq dengan Arab Saudi pada 14 Oktober nanti.

“Dengan keyakinan yang saya miliki terhadap para pemain, apabila kami memasuki perlawanan penting pada Oktober, mereka akan berada pada tahap terbaik  dari segi fizikal dan mental untuk meraih kemenangan,” tambah Arnold.

“Saya benar-benar percaya ini adalah masa kami, dan kami akan berjuang habis-habisan demi merealisasikan impian jutaan rakyat Iraq", jelasnya.

Naib juara kumpulan pula akan mara ke perlawanan playoff untuk merebut tempat ke siri perlawanan antara benua yang dijadual berlangsung pada bulan Mac. - REUTERS

 

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD