ROM, 17 Mei-Pemain nombor satu dunia, Jannik Sinner, mempamerkan aksi cemerlang di separuh akhir apabila bangkit daripada kekalahanpada set pertama untuk menewaskan pemain Amerika, Tommy Paul, 1-6, 6-0, 6-3 pada Jumaat, sekali gus mara ke final Terbuka Itali menentang Carlos Alcaraz.
Pada perlawanan tersebut, Paul yang diletakkan sebagai pilihan ke-11 kejohanan mendahului set petama dengan 5-0, sebelum menang 6-1.
Namun Sinner mencipta kebangkitan menakjubkan dalam set kedua apabila menang 6-0 bagi mengheret perlawanan ke set penentuan.
Pilihan utama kejohanan itu kemudiannya tidak memberikan peluang kepada lawannya dari Amerika Syarikat itu dan seterusnya memenangi perlawanan 6-3.
Sementara itu, Sinner mengakui dia bergelut pada awal permainan, namun kekuatan mental yang dimilikinya membantunya untuk menang pada perlawanan berkenaan.
“Keadaan sangat berbeza hari ini, cuaca jauh lebih sejuk dan bola terasa lebih berat. Saya agak bergelut pada awalnya,” kata Sinner.
“Dia patahkan servis saya awal-awal, itu ibarat tamparan buat saya. Tapi saya cuba kekal kuat dari segi mental, cuba fahami apa yang boleh berkesan. Memenangi satu permainan itu pun sangat penting bagi saya", katanya.
Dalam satu lagi separuh akhir, pemain nombor tiga dunia dari Sepanyol, Carlos Alcaraz pula mengenepikan cabaran pemain tuan rumah, Lorenzo Musetti dalam permainan tiga set yang berkesudahan 6-3,7-6,6-4.
Kemenangan itu membolehkan Alcaraz bertemu Sinner pada perlawanan akhir yang dijadualkan berlangsung pada esok (Ahad).-REUTERS