KUALA LUMPUR, 6 Jun- Tiga beregu negara mengesahkan slot ke pusingan separuh akhir Kejohanan Badminton Terbuka Indonesia 2025.
Ini menerusi beregu lelaki negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun yang menewaskan pasangan utama dari India, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty dengan kemenangan straight set 21-19, 21-16.
Perlawanan peringkat suku akhir antara kedua-dua pasangan yang berlangsung di Istora Senayan itu mengambil masa selama 43 minit.
Turut mara ke pusingan empat terbaik, beregu wanita utama negara, Pearly Tan-M. Thinaah.
Pilihan keempat kejohanan itu hanya memerlukan masa 37 minit untuk mengetepikan cabaran gandingan dari Jepun, Rin Iwanaga-Kie Nakanishi, 21-6, 21-18.
Saingan sengit dijangka menanti Pearly-Thinaah apabila dijadual bertemu pilihan kelima kejohanan, Li Yu Jing-Luo Xu Min di gelanggang 1 untuk memburu tempat ke pentas akhir.
Dalam satu lagi aksi, beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei mengesahkan tempat ke pusingan separuh akhir selepas bangkit daripada ketinggalan di set pertama, sekali gus menyingkirkan pilihan kelima dari Denmark, Jesper Toft-Amalie Magelund, 17-21, 21-16, 21-14.
Tang Jie-Ee Wei bakal membuat perhitungan menentang gandingan dari Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Supissara Paewsampran.