fb fb fb fb fb

Terbuka Indonesia: Sze Fei-Izzuddin tewas di suku akhir

Foto BAM

KUALA LUMPUR, 6 Jun- Perjuangan regu lelaki nombor satu dunia, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani dalam Kejohanan Badminton Terbuka Indonesia 2025, tamat di peringkat suku akhir.

Gandingan utama negara itu yang juga pilihan utama kejohanan tewas kepada wakil tuan rumah, Sabar Karyaman Gutama-Moh Reza Pahlevi Isfahani, 21-19, 9-21, 21-19 dalam masa 57 minit.

Kekalahan itu menyebabkan hasrat untuk menyaksikan dua beregu negara bertembung di kelompok empat terbaik tidak kesampaian.

Bagaimanapun, perjuangan Malaysia di Istora Senayan untuk beregu lelaki masih diteruskan.

Man Wei Chong-Tee Kai Wun yang merupakan pilihan ketujuh dijadual beraksi menentang Karyaman Gutama-Reza Pahlevi Isfahani untuk perebutan tempat ke perlawanan akhir.

Wei Chong-Kai Wun sebelum ini beraksi cemerlang apabila menyingkirkan gandingan utama dari India, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty dengan kemenangan straight set 21-19, 21-16.

Tumpuan Malaysia di pusingan separuh akhir turut terarah kepada beregu wanita utama negara, Pearly Tan-M. Thinaah.

Mereka dijadual bertemu pilihan kelima kejohanan, Li Yu Jing-Luo Xu Min, di gelanggang 1, esok.

Beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei pula bakal membuat perhitungan menentang gandingan Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Supissara Paewsampran.

MOHAMAD KHAIRIE KHALID