JAKARTA, 8 Jun - Pemain perseorangan wanita nombor satu dunia dari Korea Selatan, An Se-Young, memenangi gelaran kelimanya musim ini selepas menewaskan pemain China, Wang Zhiyi dalam perlawanan akhir Terbuka Indonesia 2025, hari ini.
Aksi tiga set itu berakhir dengan keputusan 13-21, 21-19, 21-15 dalam tempoh 1 jam 21 minit.
An Se-Young, yang kali terakhir memenangi gelaran Terbuka Indonesia pada 2021, tewas dalam permainan pertama 13-21 tetapi bangkit untuk memenangi dua permainan seterusnya 21-19 dan 21-15, sekali gus meraih kemenangan 2-1.

Dalam acara beregu wanita, pasangan China, Liu Shengshu dan Tan Ning, menewaskan pasangan Malaysia, Pearly Tan dan M. Thinaah, dengan keputusan 23-25, 21-12 dan 21-19.
Selepas tewas set pertama 23-25 dalam saingan sengit, Shengshu dan Ning bangkit semula dalam set kedua dengan kemenangan 21-12 dan kemudian menewaskan lawan mereka dalam set penentuan yang mendebarkan dengan keputusan 21-19 untuk merangkul kejuaraan.

Sementara itu, beregu campuran Thom Gicquel dan Delphine Delrue mencipta sejarah tersendiri apabila membawa Perancis merangkul gelaran Super 1000 pertama selepas menewaskan pasangan Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Supissara Paewsampran, dengan keputusan 21-16, 21-18.
Pada mata penamat, Gicquel menghantar ke arah garisan tepi, mendorong Puavaranukroh untuk membiarkan bulu tangkis jatuh dan mengangkat tangan untuk mencabar keputusan 'masuk', hanya untuk menyedari bahawa pasukan Thailand telah kehabisan cabaran, sekali gus memberikan kemenangan buat Perancis. - REUTERS