KUALA LUMPUR, 8 Jun - Berita baik buat peminat bola sepak tanah air yang tidak berkesempatan ke Stadium Nasional Bukit Jalil bagi menyaksikan perlawanan kedua Kumpulan F Kelayakan Piala Asia 2027 antara Malaysia dan Vietnam pada 10 Jun ini.
Kementerian Belia dan Sukan (KBS) melalui Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN) akan menganjurkan tayangan skrin besar perlawanan itu di beberapa lokasi di seluruh negara.
Melalui perkongsian di laman Facebook JBSN, orang ramai dijemput untuk menyertai program tayangan berkenaan.
Turut dimuat naik poster memaparkan lokasi tayangan skrin besar itu diadakan.
"Ayuh ekor Harimau Sejati Jalankan tugas selaku pemain ke-12 Selasa ini! Harimau Malaya dalam misi penting untuk layak ke Piala Asia 2027.
"Perlawanan yang menemukan Malaysia menentang Vietnam di gelanggang keramat, Stadium Nasional Bukit Jalil," menurut perkongsian itu.
JBSN turut memaklumkan terdapat pelbagai aktiviti sampingan termasuklah cabutan bertuah.
Perlawanan antara Harimau Malaya dengan skuad Naga Merah dijadualkan berlangsung pada pukul 9 malam Selasa ini.