SEPANYOL, 8 Jun - Pelumba muda negara, Hakim Danish Ramli mencipta momen manis di Aragon apabila menjuarai Perlumbaan 2, Pusingan Ketiga Red Bull MotoGP Rookies Cup (RBMRC), hari ini.
Kemenangan penuh bergaya itu hadir selepas lima aksi terdahulu menyaksikan Hakim sekadar naib juara, termasuk dalam Perlumbaan 1 semalam hingga dia digelar sebagai 'Mr P2'.
Memulakan saingan dari petak ketujuh, pelumba berusia 17 tahun dari Terengganu itu segera mengatur langkah, berjaya menempatkan diri dalam kelompok tiga teratas seawal pusingan pertama.

Namun, saingan sengit menyaksikannya kembali tergelincir ke kedudukan ketujuh sebelum bangkit mempamerkan tunggangan penuh berani di beberapa selekoh terakhir, sekali gus menamatkan perlumbaan sebagai juara dengan catatan masa 26 minit 52.773 saat.
Pelumba tuan rumah, Brian Uriarte menamatkan perlumbaan di tempat kedua, diikuti rakan senegara David Gonzalez di kedudukan ketiga.

Kejayaan itu terus mengukuhkan kedudukan Hakim selaku pendahulu keseluruhan kejuaraan musim ini dengan kutipan 125 mata.
RBMRC akan bersambung di Mugello, Itali pada 21 dan 22 Jun ini, dengan tumpuan terus terarah kepada pelumba remaja negara yang semakin mencuri perhatian di pentas dunia.