fb fb fb fb fb

Hevel janji aksi terbaik menentang Vietnam

Harimau Malaya turut memiliki kekuatan tersendiri untuk menumpaskan Vietnam - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 8 Jun - Aksi menentang Vietnam pada Selasa ini bukan sekadar perlawanan biasa buat skuad Harimau Malaya terutama pemain warisan negara yang dipanggil memperkuatkan pasukan.

Bagi Hector Hevel, perlawanan Kelayakan Piala Asia 2027 itu medan utama untuk dirinya membuktikan kemampuan di pentas antarabangsa.

Pemain tengah kelahiran Belanda itu menarik perhatian selepas meledak gol pada penampilan sulungnya ketika menentang Nepal, Mac lalu, dan kini bersedia memainkan peranan penting dalam misi Malaysia memburu kemenangan di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Bakal menyarung jersi Johor Darul Ta’zim (JDT) bagi musim 2025/2026, Hevel enggan terbeban dengan jangkaan tinggi yang diletakkan ke atas dirinya dan pasukan.

"Untuk meletakkan tekanan besar ke atas mereka (pemain baharu), saya rasa itu agak keterlaluan kerana ini hanyalah satu lagi perlawanan.

"Jadi, saya rasa tidak wajar menganggap tekanan itu hanya ditanggung oleh seorang pemain yang baharu masuk atau beberapa pemain lain.

"Tapi dengan skuad yang kita ada sekarang, kita memang perlu menang jadi itu juga impian kami," katanya.

Dalam masa sama, Hevel percaya pertemuan menentang Vietnam adalah peluang terbaik untuk menamatkan rekod kurang memuaskan yang dicatat Malaysia ke atas lawan itu sebelum ini.

Tambahnya lagi, walaupun Vietnam turun dengan skuad mantap, barisan Harimau Malaya turut memiliki kekuatan dan bersedia melakukan apa sahaja demi membawa pulang tiga mata penuh di laman sendiri.

MUHAMMAD APENDY BIN ISSAHAK