fb fb fb fb fb

Terbuka Indonesia: Pearly-Thinaah kecundang di pentas akhir

Pearly–Thinaah bertarung dalam tiga set selama 1 jam 26 minit sebelum tewas - BAM

JAKARTA, 8 Jun – Hasrat beregu wanita negara, Pearly Tan–M. Thinaah menjulang kejuaraan sulung Terbuka Indonesia tidak kesampaian selepas tewas kepada pasangan pilihan utama dari China, Liu Sheng Shu–Tan Ning, di pentas akhir hari ini.

Dalam aksi yang berlangsung di Istora Senayan, Pearly–Thinaah yang kini menghuni ranking kedua dunia, bertarung dalam tiga set selama 1 jam 26 minit.

Mereka memulakan permainan dengan penuh semangat dan mempamerkan aksi bertenaga untuk mencuri set pertama 25-23.

Namun, pasangan China yang berada di ranking nombor satu dunia tidak mudah mengalah apabila bangkit dengan permainan lebih kemas dan dominan untuk menyamakan kedudukan menerusi kemenangan 21-12 pada set kedua.

Saingan set penentuan berlangsung sengit apabila kedua-dua pasangan saling berbalas mata dalam usaha merebut gelaran berprestij Jelajah Dunia BWF Super 1000 itu.

Bagaimanapun, kekentalan Liu Sheng Shu–Tan Ning dalam saat-saat genting berjaya mematahkan asakan gandingan Malaysia sebelum menoktahkan kemenangan 21-19 sekali gus menafikan impian Pearly–Thinaah untuk melakar sejarah.

Dengan kemenangan itu, pasangan China membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM453,663 sebagai juara Terbuka Indonesia 2025.

MUHAMMAD APENDY BIN ISSAHAK