fb fb fb fb fb

Terbuka Hylo: Wei Chong-Kai Wun wakil tunggal negara ke separuh akhir

Pasangan negara menundukkan wakil Indonesia, Fajar Alfian-Shohibul Fikri /Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 1 November - Beregu lelaki negara, Man Wei Chong dan Tee Kai Wun harapan terakhir Malaysia yang mara ke separuh akhir Terbuka Hylo 2025 selepas menampilkan aksi cemerlang di Saarbrucken, Jerman.

Dalam perlawanan suku akhir kejohanan bertaraf Super 500 di Saarlandhalle itu, pilihan ketiga berkenaan menundukkan beregu pilihan kelima dari Indonesia, Fajar Alfian dan Muhammad Shohibul Fikri, dengan catatan 26-24, 21-19 dalam tempoh 44 minit.

Terdahulu, beregu utama negara, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik tersingkir selepas tewas di tangan gandingan Indonesia, Sabar Karyaman Gutama dan Moh Reza Pahlevi Isfahani, 11-21, 21-14, 21-17.

Sementara itu, cabaran Malaysia dalam acara beregu wanita turut berakhir selepas dua pasangan negara tersingkir di peringkat suku akhir.

Go Pei Kee–Teoh Mei Xing menarik diri pada set kedua akibat kecederaan buku lali dialami Pei Kee.

Pasangan Ong Xin Yee–Carmen Ting turut terkandas apabila tunduk 17-21, 16-21 kepada beregu Taiwan, Hsu Yin Hui dan Lin Jhih Yun.

MUHAMMAD 'AZAMUDDIN HUSSAIN