fb fb fb fb fb

Munoz puji komitmen pemain JDT, kemenangan sebagai tonik pasukan

Foto FB Johor Southern Tigers

KUALA TERENGGANU, 1 November- Ketua Jurulatih Johor Darul Ta’zim, Xisco Muñoz memuji komitmen tinggi pemain yang kekal fokus dan berdisiplin sepanjang perlawanan berdepan Terengganu FC (TFC), malam tadi.
 
Jelasnya, kemenangan menentang skuad Penyu itu bakal menjadi tonik berdepan aksi seterusnya.

"Bagi saya ialah bagaimana pasukan mencipta peluang. Kami berjaya menghasilkan beberapa peluang terbaik, terutama pada separuh masa pertama dan sebenarnya boleh menambah jaringan lebih awal. Namun secara keseluruhan, saya gembira kerana pemain menunjukkan karakter dan momentum yang kami mahukan.

Kami kekal berdisiplin, bermain mengikut pelan, dan mengawal tempo permainan sepanjang 90 minit. Terengganu FC juga bukan lawan mudah, mereka memiliki kepantasan serta transisi serangan yang baik. Jadi, kemenangan ini hasil kerja keras seluruh pasukan," kata Munoz kepada pemberita selepas aksi malam tadi.

Sementara itu, bagi Ketua Jurulatih Terengganu FC, Badrul Afzan Razali, kekalahan besar itu menjadi pengajaran berguna buat skuad muda bimbingannya.

"Saya kecewa dengan prestasi pemain malam ini, bukan sebab mereka tidak berusaha, tetapi kerana terlalu menghormati pasukan lawan dan tidak cukup agresif di padang. Kita dibolosi dengan gol yang terlalu mudah, sesuatu yang sepatutnya boleh dielakkan.

Saya harap pemain sedar apa yang kita mahukan sebagai satu pasukan, sekurang-kurangnya kita perlu berjuang untuk satu mata. Kekalahan ini saya bertanggungjawab sepenuhnya dan bertekad untuk bangkit semula," kata Badrul Afzan kepada pemberita.
 
TFC akan berkunjung ke Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi minggu depan menentang Negeri Sembilan FC (NSFC), dalam misi memperbaiki kedudukan liga selepas mencatat tiga kekalahan, setakat ini.

Terdahulu, skuad Harimau Selatan tampil garang menjinakkan Terengganu 5-0 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Terengganu.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM