fb fb fb fb fb

Terbuka Geneva: Djokovic raih kejuaraan ATP ke-100

Bintang tenis Serbia, Novak Djokovic / Foto REUTERS

GENEVA, 25 Mei-Novak Djokovic bangkit selepas tewas set pertama untuk merangkul kejuaraan ke-100 jelajah ATP selepas menewaskan pilihan keenam dari Poland, Hubert Hurkacz, 5-7, 7-6(2), 7-6(2) pada aksi akhir Terbuka Geneva, Sabtu lalu.

Pemain Serbia itu, yang menyambut ulang tahun ke-38 pada Khamis lalu, menjadi lelaki ketiga yang berjaya mencapai 100 gelaran ATP, selepas Jimmy Connors (Amerika Syarikat) dan Roger Federer (Switzerland).

"Saya benar-benar terpaksa bekerja keras untuk ini. Hubi mungkin lebih hampir kepada kemenangan sepanjang perlawanan berbanding saya," kata Djokovic.

"Saya ada beberapa peluang untuk mematahkan servisnya pada set pertama, tetapi kemudian bermain teruk dan melakukan ‘double fault’ ketika mata penamat set.

"Saya cuma cuba bertahan, saya sendiri tidak tahu bagaimana saya berjaya mematahkan servisnya… inilah yang berlaku di tahap tertinggi – hanya beberapa mata yang menentukan pemenang.

"Perlawanan yang luar biasa, 7-6 di set ketiga, dengan stadium penuh dan suasana yang cukup indah. Saya bersyukur dapat menamatkan kejuaraan ke-100 saya di sini."

Kejayaan ini adalah gelaran pertama Djokovic sejak memenangi pingat emas di Sukan Olimpik Paris tahun lalu.

Kejayaan itu juga hadir pada waktu yang tepat menjelang Terbuka Perancis (Roland Garros) yang bermula Ahad ini, menyaksikan beliau akan memburu gelaran Grand Slam ke-25 dan mahkota keempat di Paris.

Dalam perlawanan yang berlangsung selama lebih tiga jam lima minit itu Djokovic mencatat enam ace dan 34 pukulan kemenangan.

Hurkacz, yang mendahului 4-2 dalam set penentuan, gagal mengekalkan kelebihan apabila Djokovic kembali bangkit dan memastikan kemenangan menerusi ‘tiebreak’ dengan satu ace, sekali gus melebarkan rekod kemenangan ke atas pemain Poland berusia 28 tahun itu kepada 8-0 sepanjang karier mereka.

Dengan kejayaan ini, Djokovic menjadi lelaki pertama yang memenangi kejuaraan ATP dalam 20 musim berturut-turut, sejak gelaran pertamanya di Amersfoort pada tahun 2006. Beliau juga dinobatkan sebagai juara paling tua dalam sejarah Terbuka Geneva.

Kini menduduki ranking nombor enam dunia, Djokovic akan membuka saingan di Roland Garros menentang pemain bukan pilihan dari Amerika Syarikat, Mackenzie McDonald, dalam pusingan pertama.-AFP

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD