KUALA LUMPUR, 24 Mei - Beregu lelaki negara, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik, menegaskan fokus utama mereka adalah memberi persembahan terbaik, bukan semata-mata memburu gelaran juara pada aksi akhir Kejohanan Badminton Masters Malaysia.
Pasangan nombor tiga dunia itu mengakui gelaran sudah hampir dalam genggaman, namun tetap mahu mengekalkan disiplin permainan dan semangat berpasukan demi menamatkan kemarau kejuaraan di tanah air sejak 2013.
"Kita memang nak menang, tapi bukan terlalu terdesak. Gelaran itu sudah hampir pasti milik Malaysia, jadi kami hanya mahu main dengan baik dan beri yang terbaik," ujar Aaron.
Sementara itu, Soh Wooi Yik menyifatkan pengalaman beraksi di pentas akhir buat kali ketiga berturut-turut selepas memenangi Kejohanan Badminton Asia dan Terbuka Thailand sebagai cabaran mental yang besar buat mereka.
"Kami hanya fokus untuk kekal kuat secara mental. Selepas beraksi dalam beberapa kejohanan berturut-turut, ia memang mencabar. Tapi kami akan cuba sebaik mungkin dan berikan segalanya esok," katanya.
Kali terakhir wakil negara menjuarai acara beregu lelaki Masters Malaysia adalah pada tahun 2013 menerusi pasangan Goh V Shem dan Lim Khim Wah.