VANTAA, 15 Oktober -Dua pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia dan Ng Tze Yong bakal berentap di pentas final terbuka Finland selepas cemerlang menundukkan lawan masing-masing di separuh akhir.
Pada saingan yang berlangsung di Arena Vantaa Energia itu menyaksikan, Tze Yong terlebih dahulu mengesahkan tempat ke final apabila menumbangkan pilihan ketujuh dari Jepun, Kanta Tsuneyama.
Tze Yong bermula cemerlang menguasai pertarungan set pertama seterusnya meraih kemenangan mudah 21-12.
Pemain berusia 23 tahun itu terus konsisten mempamerkan pukulan bertenaga pada set berikutnya untuk mengesahkan kemaraan dengan keputusan 21-16.
Sementara itu, pada satu lagi perlawanan separuh akhir, seorang lagi wakil negara, Lee Zii Jia berpeluang menamatkan kemarau gelaran musim ini selepas mudah menewaskan Pemain ranking ke-10 dari Denmark, Anders Antonsen.
Zii Jia yang mempamerkan corak permainan pantas berjaya menguasai set pertama dengan kemenangan 21-17.
Pertembungan set kedua terus berlangsung rancak, namun terpaksa dihentikan ketika wakil negara itu mendahului 13-8 selepas Antonsen terpaksa menarik diri akibat kecederaan kaki.
Pertemuan terakhir kedua-dua wakil negara ialah pada Terbuka Australia April lalu yang memihak kepada Zii Jia dengan keputusan 17-21, 26-24, 21-19.
(FOTO FB BAMalaysia)