BERMUDA, 4 Mei -Pemain skuasy negara, Aira Azman membuktikan reputasinya selaku pilihan utama kejohanan apabila menjuarai Terbuka Bermuda 2025 selepas menundukkan wakil Mesir, Hana Moataz pada aksi akhir yang berlangsung awal pagi tadi.
Pemain berusia 20 tahun berkenaan yang kini berada di kedudukan ke-30 dunia, meraih kemenangan straight set 3-0 (12-10, 11-3, 11-6) dalam tempoh 27 minit untuk menamatkan kempen kejohanan dengan penuh bergaya.
Kejayaan itu sekali gus merupakan kemenangan pertama Aira atas Moataz, pemain ranking ke-38 dunia.
Aira sebelum ini mencipta sensasi di separuh akhir apabila mengetepikan cabaran kakaknya, Aifa Azman dalam pertarungan sengit empat set
Perlawanan itu dimulakan dengan aksi kurang baik apabila kecundang 4-11 sebelum kembali bangkit memenangi tiga set berikutnya 11-4, 11-8 dan 11-6.
Terbuka Bermuda 2025 merupakan salah satu kejohanan PSA Challenger Tour yang menjadi medan penting buat pemain muda mengumpul mata ranking dan pengalaman beraksi di peringkat antarabangsa.