fb fb fb fb fb

Terbuka AS: Sinner jumpa Alcaraz di pentas akhir

Bintang tenis Itali, Jannik Sinner / Foto AFP

NEW YORK, 6 September – Juara bertahan Jannik Sinner bakal berdepan Carlos Alcaraz pada perlawanan akhir Terbuka AS selepas menewaskan pilihan ke-25 dari Kanada, Felix Auger-Aliassime dalam permainan empat set.

Pemain nombor satu dunia itu menundukkan Auger-Aliassime 6-1, 3-6, 6-3, 6-4 untuk mara ke perlawanan akhir, sambil memburu gelaran Grand Slam kelima dalam kariernya.

Sinner, 24, kini menyertai legenda Rod Laver, Roger Federer dan Novak Djokovic sebagai satu-satunya pemain lelaki yang berjaya mara ke semua empat perlawanan akhir Grand Slam dalam satu musim.

“Ia musim yang menakjubkan. Grand Slam adalah kejohanan paling penting sepanjang tahun,” kata Sinner yang musim ini sudah merangkul kejuaraan Terbuka Australia dan Wimbledon, selain tewas kepada Alcaraz dalam pertarungan epik lima set di perlawanan akhir Terbuka Perancis.

Perlawanan akhir Ahad ini bakal menjadi pertemuan ketiga berturut-turut antara Sinner dan Alcaraz di pentas Grand Slam.

“Ahad akan menjadi hari yang istimewa dengan satu lagi perlawanan akhir hebat. Saya rasa persaingan kami bermula di sini pada 2022.

"Kini kami berdua hadir sebagai pemain berbeza dengan keyakinan berbeza,” ujarnya. - AFP

Sinner yang juga pilihan utama sudah mencatat 27 kemenangan berturut-turut dalam perlawanan Grand Slam di gelanggang keras. Beliau kini mengintai peluang menjadi pemain pertama mempertahankan gelaran Terbuka AS sejak Federer melengkapkan lima kejuaraan berturut-turut pada 2008.

Bagi Auger-Aliassime, kekalahan itu  menutup peluangnya untuk mara ke perlawanan akhir Grand Slam sulung, selepas kali terakhir beraksi di separuh akhir juga di New York pada 2021. - AFP

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD