BIRMINGHAM, 15 Mac- Gandingan beregu wanita negara, Pearly Tan-M.Thinaah berjaya meneruskan kemaraan dalam kempen Terbuka All England 2024.
Pasangan negara menundukkan wakil dari China, Chen Qing Chen-Jia Yi Fan, yang juga merupakan gandingan nombor satu dunia itu menerusi aksi 'straight sets', 22-20 dan 21-16.
Aksi di set pertama menyaksikan kedua-dua pasangan saling mengutip mata, namun Pearly Tan-M. Thinaah memastikan kemenangan selepas diheret ke pusingan 'deuce'.
Memasuki set kedua, gandingan negara tampak lebih tenang mengawal permainan selain wakil dari China kerap melakukan kesalahan.
Selepas ini, mereka bakal bertemu wakil dari Jepun, R.Miyaura-A.Sakuramoto bagi aksi suku akhir.
Dalam pada itu, nasib berbeza menimpa dua pasangan beregu campuran negara yang ditunjukkan jalan keluar di pusingan kedua.
Gandingan Tan Kian Meng-Lai Pei Jing tewas 17-21, 11-21 dalam tempoh 40 minit kepada pasangan Hong Kong, Tang Chun Man-Tse Ying Suet.
Turut hadapi nasib sama, pasangan Chen Tang Jie-Toh Ee Wei apabila tewas di tangan Robin Tabeling-Selena Piek dari Belanda 21-17, 19-21, 16-21.