fb fb fb fb fb

Terbuka All England 2024, Lee Zii Jia berdepan Lakshya Sen di suku akhir

Foto FB BAM

BIRMINGHAM, 15 Mac- Perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia memulakan kempen Kejohanan Terbuka All England 2024 dengan langkah kanan.

Kemenangan kedua diraih selepas menundukkan lawan dari Singapura, Loh Kean Yew, 21-15 dan 21-12, dalam aksi pusingan 16 terbaik.

Keputusan itu sekali gus menyaksikan Zii Jia layak ke pusingan suku akhir.

Bekas pemenang All England 2021 itu mempamerkan rentak permainan kemas untuk meraih kemenangan dalam tempoh 33 minit.

Kejayaan itu merupakan kemenangan keempat berturut-turut diraih Zii Jia ke atas pemain nombor 11 dunia itu dalam lapan pertemuan terakhir mereka.

Zii Jia bakal bertemu Lakshya Sen dari India untuk pusingan suku akhir pada Sabtu ini.

Sebelum ini, Zii Jia melakar kejutan ke atas pemain ranking keenam dunia dari Jepun, Kodai Naraoka di pusingan pertama selepas merakam kemenangan 21-12 dan 21-19.

Sementara itu, pasangan beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik turut mencatatkan kemenangan kedua selepas menewaskan pasangan Taiwan, Chang Ko Chi-Po Li Wei, 21-18 dan 24-22.

Untuk aksi suku akhir, beregu lelaki negara akan berdepan pasangan Indonesia, Bagas Maulana-M. Shohibul Fikri.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM