LIVERPOOL, 15 Mac - Barisan pemain Liverpool berhasrat untuk memberi hadiah perpisahan terbaik buat pengurus kelab itu, Jurgen Klopp dengan memenangi setiap piala yang dipertandingkan, kata pemain pertahanan, Connor Bradley selepas menang besar ke atas Sparta Prague 6-1 pada Liga Europa, semalam (Khamis).
Kemenangan itu melayakkan Liverpool mara ke suku akhir selepas menang 11-1 ke atas pasukan dari Czech berkenaan. Pada aksi timbal balik 16 terbaik sebelum ini, Liverpool berjaya menumpaskan kelab berkenaan 5-0 pada aksi pertama.
"Klopp merupakan satu-satunya pengurus yang saya kenali di kelab ini.
"Pemergiannya dari Liverpool adalah sesuatu yang menyedihkan kami", kata Bradley kepada TNT Sports.
"Kami ingin memenangi setiap trofi yang dipertandingkan untuknya (Klopp).
"Kami akan mencuba sedaya-upaya untuk menang", kata Bradley lagi.
Musim ini, Liverpool di bawah kendalian Jurgen Klopp menampilkan aksi cemerlang dengan menduduki tangga kedua dalam Liga Perdana Inggeris serta berkongsi mata dengan pendahulu, Arsenal.
Selain itu, pasukan berkenaan turut menjuarai Piala Liga selain turut mara ke suku akhir Piala FA dan bakal bertandang ke Old Trafford bagi pertandingan tersebut pada Ahad depan.
Pada Januari lalu, Klopp menggemparkan dunia bola sepak apabila mengumumkan peletakan jawatan sebagai pengurus Liverpool pada penghujung musim ini selepas berkata telah kehabisan tenaga sepanjang mengemudi kelab berkenaan selama lapan tahun.-REUTERS