MADRID, 15 Mac- Pemain sayap Real Madrid, Brahim Diaz telah disenarai dalam panggilan skuad kebangsaan Maghribi selepas membuat keputusan untuk mewakili pasukan dari Afrika Utara itu dan bukannya Sepanyol.
Menurut kenyataan Persekutuan Bola Sepak Maghribi, Diaz dimasukkan ke dalam senarai 24 pemain Walid Regragui untuk perlawanan menentang Angola dan Mauritania bulan ini.
Pemain berusia 24 tahun itu pernah mewakili Sepanyol dalam satu perlawanan dan menjaringkan gol ketika menentang Lithuania pada 2021.
Peraturan FIFA mengatakan pemain boleh membuat pertukaran antarabangsa selagi membuat kurang daripada tiga penampilan untuk sebuah negara sebelum usia 21 tahun.
Seseorang pemain juga haruslah tidak bermain untuk negara itu selama sekurang-kurangnya tiga tahun.
Bekas pemain sayap AC Milan, Diaz mempamerkan aksi cemerlang bersama Real Madrid, menjaringkan lapan gol dalam 32 perlawanan menerusi semua pertandingan musim ini.- REUTERS