fb fb fb fb fb

CEO NSFC jawab isu kontrak Zaquan

Ketua Pegawai Eksekutif NSFC, Faliq Firdaus / Foto FB faliq.firdaus

KUALA LUMPUR, 14 Mac - Kontrak bekas kapten Harimau Malaya dan Negeri Sembilan FC (NSFC), Mohamad Zaquan Adha Abdul Radzak telah tamat pada 17 Disember 2023.

Menjelaskan situasi sebenar, Ketua Pegawai Eksekutif NSFC, Faliq Firdaus menyatakan pemain berusia 37 tahun itu tidak pernah menyemak statusnya sebagai pemain sejak kontraknya tamat.

Faliq yang mula menerajui pasukan itu sejak 10 Januari lalu menjelaskan dengan mengambil kira beberapa aspek pihaknya tidak menawarkan kontrak baharu.

"Sejak 17hb itu Zaquan adalah seorang agen bebas, maksudnya dia berhak untuk berurusan dengan mana-mana kelab dan kelab ada hak untuk sambung atau cari kelab lain sebab ianya pasaran terbuka. Saya ada maklumkan juga pemain bebas untuk mencari kelab dan tidak hanya untuk menuggu pihak kami.

"Dengan mengambil kira situasi bahawa pemain itu 37 tahun kita hanya ada slot pemain 28 atau 29 yang sangat berharga. Implikasi kewangan juga diambil kira dan juga rekod kecederaan dialami beliau, jadi kami ambil keputusan untuk tidak menyenaraikannya dalam pasukan," katanya menerusi hantaran di media sosial.

Terdahulu, Zaquan meluahkan kekecewaannya apabila hanya menerima sekeping surat yang mengatakan kontraknya bersama Negeri Sembilan tidak disambung.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN