fb fb fb fb fb

Tenis Terbuka Perancis: Djokovic mara ke pusingan kedua

Bintang tenis Serbia, Novak Djokovic/ Foto REUTERS

PARIS, 28 Mei-Novak Djokovic memulakan kempen memburu gelaran Grand Slam ke-25 dengan langkah meyakinkan apabila menewaskan pemain Amerika Syarikat, Mackenzie McDonald, dalam aksi pusingan pertama Terbuka Perancis.

Beraksi dalam keadaan berangin dan hujan renyai di gelanggang Philippe Chatrier, pemain pilihan keenam itu tidak menghadapi banyak tentangan, mencatat kemenangan selesa 6-3, 6-3, 6-3 ke atas McDonald.

Pada perlawanan itu, pemain berusia 38 tahun itu mematahkan servis McDonald ketika kedudukan 2-2 dalam set pertama sebelum hujan memaksa permainan dihentikan selama 10 minit.

Selepas permainan bersambung, Djokovic pantas mendahului 5-2 dan menamatkan set pertama tanpa sebarang masalah.

Dalam set kedua, Djokovic sekali lagi memecahkan servis lawan pada awal permainan, meletakkannya di landasan tepat untuk menamatkan perlawanan. McDonald, yang kini berada di ranking ke-98 dunia, gagal memberikan cabaran bermakna.

Set ketiga menyaksikan dominasi berterusan daripada Djokovic, yang memenangi mata perlawanan pertama apabila pukulan backhand McDonald tersasar ke dalam jaring.

Dengan kemenangan ini, Djokovic melanjutkan rekod sempurnanya kepada 21-0 dalam perlawanan pusingan pertama Terbuka Perancis dan belum pernah tewas sebarang set dalam aksi pembukaan sejak 2010.

Dalam aksi lelaki lain, pemain Britain dan juara Indian Wells, Jack Draper, yang juga pilihan kelima, mara ke pusingan kedua selepas menewaskan pemain Itali, Mattia Bellucci 3-6, 6-1, 6-4, 6-2.

Pilihan ke-19 dari Republik Czech, Jakub Mensik, pula menyingkirkan pemain tuan rumah, Alexandre Muller, 7-5, 6-7(5), 7-5, 6-3.

Dalam saingan wanita, pilihan ketiga dari Amerika Syarikat, Jessica Pegula, menempah slot ke pusingan kedua selepas menundukkan pemain Romania, Anca Todoni, 6-2, 6-4.

Sementara itu, pilihan ke-25 dari Poland, Magdalena Frech, mencipta kejutan apabila menyingkirkan finalis Wimbledon dan Terbuka AS 2022, Ons Jabeur dari Tunisia, 7-6(4), 6-0.-AFP.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD