fb fb fb fb fb

Fortes bocor rahsia Harimau Malaya

Foto Facebook Persatuan Bola sepak Malaysia

KUALA LUMPUR, 28 Mei – Skuad Harimau Malaya perlu berwaspada menjelang pertemuan dengan Cape Verde dalam aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 yang akan berlangsung di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, malam esok.

Ketua jurulatih Cape Verde, Pedro Brito, mendedahkan bahawa pemain import Selangor FC, Alvin Fortes, yang menyertai pasukan itu telah berkongsi beberapa maklumat berkaitan kekuatan skuad Harimau Malaya kepada barisan kejurulatihan negara itu.

“Alvin telah berkongsi beberapa maklumat tentang bola sepak dan pasukan kebangsaan Malaysia.

"Namun, fokus kami tetap tertumpu kepada persiapan pasukan sendiri,” katanya pada sidang media praperlawanan hari ini.

Malaysia, yang berada di ranking ke-131 dunia, bakal berdepan Cape Verde, pasukan di kedudukan ke-72 dunia dalam dua aksi persahabatan.

Perlawanan pertama berlangsung malam esok di Cheras, manakala perlawanan kedua akan diadakan secara tertutup di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 3 Jun ini.

Menurut Brito, pasukannya tidak memandang rendah kemampuan Harimau Malaya dan menganggap perlawanan ini sebagai peluang penting untuk menimba pengalaman antarabangsa, khususnya buat pemain muda yang baharu dipanggil menyertai skuad kebangsaan.

“Perlawanan ini juga merupakan sebahagian daripada persiapan kami menghadapi kempen Kelayakan Piala Dunia 2026 yang akan datang,” katanya lagi.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD