fb fb fb fb fb

Harimau Malaya perlu tumpu perlawanan persahabatan terlebih dahulu

Ketua Jurulatih Bola Sepak Kebangsaan Peter Cklamovski (kanan) memberi arahan kepada pemain Skuad Harimau Malaya ketika menjalani sesi latihan sebagai persiapan menjelang perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 1 bertemu Cape Verde. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 28 Mei- Skuad Harimau Malaya perlu memberikan tumpuan sepenuhnya kepada dua perlawanan persahabatan menentang Cape Verde sebelum mengalihkan perhatian kepada aksi Kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam pada 10 Jun ini.

Ketua jurulatih skuad kebangsaan Peter Cklamovski berkata tumpuan ketika ini lebih terarah kepada Cape Verde yang disifatkannya sebagai lawan cukup berkualiti dalam persiapan pasukan kali ini.

Beliau berkata Cape Verde perlu diberi penghormatan sewajarnya dan pihaknya akan menurunkan kesebelasan terbaik pada perlawanan persahabatan Tier 1 yang dijadual berlangsung di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras malam esok.

“Perlawanan menentang Vietnam lambat lagi. Perlawanan menentang Cape Verde sangat penting dalam persiapan untuk menghadapi Vietnam.

“Bola sepak adalah permainan yang unik dan kami perlu menghormati setiap lawan. Kami perlu memberikan prestasi terbaik dan bermain dengan mentaliti yang kuat, tidak kira siapa lawan. Sikap ini akan menguatkan pasukan,” katanya pada sidang media praperlawanan menentang Cape Verde di sini hari ini.

Cklamovski berkata skuad negara perlu memanfaatkan sepenuhnya aksi berdepan pasukan ranking ke-72 dunia yang dilihat mempunyai corak permainan hampir sama dengan Vietnam, sekali gus bakal membantu skuad negara membuat persiapan.

“Kami akan memanfaatkan perlawanan ini sebaik mungkin, walaupun kami tahu ia akan menjadi cabaran besar. Cape Verde dan Vietnam sangat serupa dari segi fizikal, kekuatan, kelajuan dan corak permainan.

“Jadi, ia akan menjadi menarik untuk melihat bagaimana kita boleh mendapatkan sesuatu daripada perlawanan ini. Bermain menentang pasukan yang kuat seperti ini akan membantu kami berkembang sebagai sebuah pasukan,” katanya.

Skuad negara akan menentang Cape Verde sekali lagi dalam aksi tertutup di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 3 Jun ini. - BERNAMA

NIK MOHD HAFIZUL BAHARUDDIN

Hello