CINCINNATI, 11 Ogos – Pemain nombor dua dunia, Carlos Alcaraz, bangkit untuk menewaskan Damir Dzumhur dari Bosnia 6-1, 2-6, 6-3 pada pusingan kedua Cincinnati Open, Ahad.
Pilihan kedua kejohanan itu, yang mara ke pentas akhir dalam enam kejohanan terakhir disertainya, akan bertemu pemain Serbia, Hamad Medjedovic, di pusingan seterusnya.
Selepas permulaan meyakinkan di set pertama, Alcaraz melakukan banyak 'unforced error' pada set kedua sebelum kembali tenang dan menamatkan perlawanan hasil pukulan Dzumhur yang keluar gelanggang.
Dalam aksi wanita, pilihan kedua Coco Gauff memulakan kempen dengan kemenangan bergaya 6-3, 6-2 ke atas pemain China, Wang Xinyu, dalam masa 70 minit, sekali gus menggembirakan penyokong tuan rumah.
Pilihan ketujuh dari Itali, Jasmine Paolini, pula terpaksa bekerja keras sebelum menundukkan Maria Sakkari (Greece) 7-6 (7/2), 7-6 (7/5) melalui dua penentuan tie-break. - REUTERS