BARCELONA, 10 Ogos – Juara bertahan La Liga, Barcelona, menamatkan aksi pramusim dengan penuh bergaya selepas membelasah kelab Itali, Como, 5-0 pada Ahad dalam perlawanan Trofi Joan Gamper.
Kejohanan tersebut turut menyaksikan hubungan kelab catalan itu kembali pulih dengan penjaga gol, Marc-André ter Stegen.
Marcus Rashford turut membuat penampilan sulung sebagai pemain gantian, dua minggu selepas dipinjamkan dari Manchester United.
Barcelona meraih kemenangan hasil dua gol masing-masing daripada Fermín Lopez dan Lamine Yamal, serta satu jaringan Raphinha pada separuh masa pertama.
Perlawanan berlangsung di Stadium Johan Cruyff dalam kompleks latihan kelab sementara menunggu siapnya kerja pembaharuan besar-besaran di Camp Nou.
Pasukan bimbingan Hansi Flick itu mempamerkan aksi mantap menjelang pembukaan kempen mempertahankan kejuaraan liga menentang Mallorca pada Sabtu ini.
Sebelum sepak mula, Ter Stegen menyampaikan ucapan di padang, hanya beberapa hari selepas pertikaian berhubung pengurusan kecederaan belakangnya didedahkan.
Dua hari lalu, beliau dikembalikan semula sebagai kapten.
“Saya rasa penting untuk menyelesaikan isu antara kelab dan saya, dan sekarang masa untuk melihat ke hadapan,” kata penjaga gol Jerman berusia 33 tahun itu.
“Kami akan berjuang untuk semua trofi dan dengan sokongan anda, kami berharap dapat memenangi semua gelaran,” tambahnya.
Rashford pula mempamerkan aksi 'yo-yo' selain membantu Raphinha menjaringkan gol tetapi turut mensia-siakan peluang mudah untuk menolak bola ke gawang yang kosong. - REUTERS