GAZA, 11 Ogos – Harapan penyerang legenda Palestin, Suleiman al-Obeid, untuk terus beraksi sehingga usia 50 tahun musnah selepas beliau terbunuh ketika beratur untuk mendapatkan bantuan makanan di selatan Gaza, dipercayai akibat tembakan kereta kebal Israel, menurut keluarganya.
Obeid, yang digelar “Pele Palestin” kerana kemahiran dan ketajaman penyudahnya, meninggal dunia pada usia 41 tahun.
Beliau pernah mewakili pasukan kebangsaan Palestin dan masih aktif bersama kelabnya, Al-Shati, ketika perang Israel-Hamas tercetus pada Oktober 2023.
Persatuan Bola Sepak Palestin memaklumkan ratusan atlet dan pegawai sukan telah terbunuh sejak serangan Israel bermula, dengan kebanyakan kemudahan sukan kini musnah.
Penyokong bola sepak Palestin mahu mengenang Obeid melalui warisannya di padang, bukan kematiannya.
“Kanak-kanak memanggilnya Henry dan Pele Palestin,” kata Hassan al-Balawi, seorang tukang gunting rambut di Gaza City, merujuk juga kepada legenda Perancis Thierry Henry.
“Pemain ini ibarat kijang dan semua peminat bola sepak Palestin seronok menonton Kapten Suleiman al-Obeid.”
Menurut pihak Palestin, Obeid terbunuh akibat tembakan kereta kebal Israel di pusat pengagihan bantuan.
Kematian Obeid menjadi tumpuan antarabangsa selepas penyerang Liverpool, Mohamed Salah, mengkritik badan bola sepak Eropah (UEFA) kerana tidak menyatakan punca kematiannya dalam satu penghormatan. “Boleh beritahu kami bagaimana dia meninggal, di mana, dan kenapa?” tulis Salah di X.
Jurucakap tentera Israel, Nadav Shoshani, membalas bahawa mereka tidak mempunyai rekod insiden melibatkan Obeid dan memerlukan maklumat lanjut.
Tentera Israel belum memberi komen rasmi berhubung kematiannya. - REUTERS