(Gelagat Andrey Rublev dari Rusia ketika bermain menentang Dan Evans/FOTO AFP)
MELBOURNE, 21 Januari - Pilihan kelima, Andrey Rublev berjaya menjinakkan pemain Britain yang meningkat naik, Dan Evans di pusingan ketiga, sekali gus mara ke peringkat 16 terbaik kejohanan.
Rublev dilihat tidak berdepan masalah untuk menewaskan Evans yang hanya memberi tentangan di set pertama sebelum tunduk mudah dua set berikutnya.
Pemain kelahiran Rusia itu menang straight sets, 6-4, 6-2 dan 6-3 ke atas Evans yang merupakan pilihan ke-25 kejohanan.
Rublev sebelum ini pernah mara ke saingan suku akhir Terbuka Australia dua tahun lalu.
Dia berpeluang mengulangi pencapaian tersebut sekiranya menang ke atas pemain muda Denmark, Holger Rune di peringkat keempat nanti.
Sementara itu, kejutan berlaku di pusingan ketiga apabila bekas pemain nombor 1 dunia, Daniil Medvedev dari Rusia tumbang di tangan pemain muda Amerika Syarikat, Sebastian Korda straight sets 7-6, 6-3 dan 7-6.
(Holger Rune dari Denmark mendapat rawatan selepas terjatuh di Terbuka Australia/ FOTO AFP)
Selepas ketinggalan dua set awal, Medvedev cuba bangkit mencerahkan peluang di set ketiga.
Namun, pilihan ketujuh itu gagal mengatasi tentangan sengit Korda yang akhirnya menang menerusi tie-break 7-6.
Keputusan itu menyaksikan Korda, 22 tahun, bakal berdepan pilihan ke-10 dari Poland, Hubert Hurkacz di pusingan keempat.