KUALA LUMPUR, 7 Julai - Pelari pecut wanita negara, Zaidatul Husniah Zulkifli tidak mahu tuntutan kerjaya bergelar jurulatih olahraga Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ), menggangu impiannya yang mahu membuat penampilan di temasya Sukan SEA 2025 di Thailand hujung tahun ini.
Atlet berusia 32 tahun yang turut dikenali dengan panggilan “Adik” berkata, fokusnya kini tertumpu kepada fasa pemulihan kecederaan ligamen kaki dialaminya sewaktu bertanding di Kejohanan Olahraga Asia (ATF) di Gumi, Korea Selatan, Mei lepas dalam usaha memburu tiket ke temasya sukan dwitahunan itu.
“Ia sedikit mencabar, sebab Adik pun dah bekerja jadi proses pemulihan mengambil masa sedikit.
“Saya sendiri tidak mengetahui mengenai kecederaan ini masa bertanding ketika itu. Bila balik sini, baru tahu ada koyakan pada ligamen kaki namun Adik tetap teruskan latihan perlahan-lahan,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Beliau juga memaklumkan dalam rangka persiapan untuk menyertai kejohanan Terbuka Malaysia dalam masa terdekat sebagai persiapan untuk ke Sukan SEA 2025.
“Untuk sekarang ini fokus utama adik, tentu sekali Terbuka Malaysia sebab kita nak layak ke Sukan SEA dan yang paling penting nak perbaiki masa dari masa di Korea tempoh hari.
“Sebenarnya kalau berasaskan catatan masa tiga yang terbaik memang dah layak sepatutnya. Tapi kita masih nak lihat pada hujung-hujung sebelum nak kelayakan itu, mesti nak tengok keputusan yang terakhir,” katanya.
Zaidatul dalam pada itu berharap kembalinya jurulatih pecut negara dalam skuad kebangsaan Mohd Poad Kassim, dapat membantu beliau mengekalkan konsistensi.
“Sebagai atlet mesti kita mengharapkan jurulatih ada di sisi sebagai motivasi. Sebab kita sebagai pelari pecut ada teknik-teknik yang perlu ditambah baik dan kadangkala kita sendiri tidak tahu apa kesalahan dilakukan yang hanya dapat dikenal pasti jurulatih berpengalaman,” katanya. - BERNAMA