KUALA KANGSAR, 7 Julai - Sekolah Sukan Malaysia Pahang (SSMP) melakar sejarah apabila berjaya menjulang kejuaraan sulung Kejohanan Ragbi MCKK Premier 7’s 2025 selepas menewaskan juara bertahan, Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI), 17-12 dalam perlawanan akhir kategori Cup yang berlangsung di padang Kolej Melayu Kuala Kangsar pada Ahad.
Kejayaan itu sekali gus menamatkan dominasi SSTMI dalam kejohanan berprestij edisi ke-13 tersebut.
Disiplin tinggi serta ketangkasan barisan pemain menjadi kunci kemenangan SSMP yang turut menyaksikan Muhammad Ammar Zidan Mohd Zaid dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Zaharuddin Alias.
Antara aksi semasa perlawanan / Foto Facebook Harimau Malaya
Sementara itu, pasukan tuan rumah, Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK), menebus kekecewaan gagal mara ke perlawanan akhir utama apabila menjuarai kategori Plate selepas menewaskan wakil Jepun, Shizuoka Seiko Academy, 14-7.
Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Hussein Onn (THOR) pula meraih tempat ketiga kategori Cup apabila menundukkan SMK King Edward VII dengan keputusan 10-7.
Dalam saingan kategori Bowl, Kolej Vokasional Arau (KVA) muncul juara selepas mencatat kemenangan tipis 24-21 ke atas SMK Hosba, manakala kategori Shield menjadi milik MRSM Balik Pulau yang membenam Maktab Tentera Diraja (MTD) dengan keputusan 19-0.