fb fb fb fb fb

Tenis Terbuka AS: Sinner, Swiatek mara ke pusingan 16

Aksi pemain Itali, Jannik Sinner menentang pemain Kanada, Denis Shapovalov pada kejohanan tenis Terbuka Amerika Syarikat/ Foto AFP

NEW YORK, 31 Ogos – Pemain Itali, Jannik Sinner mengekalkan rentak dalam misi mempertahankan kejuaraan Terbuka Amerika Syarikat selepas bangkit menewaskan pemain Kanada, Denis Shapovalov, pada Sabtu.

Juara bertahan itu tewas set pertama sebelum kembali menguasai perlawanan untuk mencatat kemenangan 5-7, 6-4, 6-3, 6-3, sekali gus mara ke pusingan 16.

Sinner kini berusaha menjadi pemain lelaki pertama mempertahankan gelaran di New York sejak Roger Federer melakukannya pada tahun 2008.

“Keadaan agak sukar, kedudukan seakan-akan menentang saya. Namun saya cuba kekal fokus secara mental,” kata pemain nombor satu dunia itu yang akan bertemu Alexander Bublik pada aksi seterusnya.

Dalam saingan lain, pilihan ketiga Alexander Zverev tersingkir paling awal dalam tempoh tujuh tahun selepas tunduk kepada Felix Auger-Aliassime.

Pemain Kanada itu mara dengan kemenangan 4-6, 7-6 (9/7), 6-4, 6-4 untuk berdepan Andrey Rublev di pusingan seterusnya.

Sementara itu, acara perseorangan wanita menyaksikan pemain nombor satu dunia, Iga Swiatek berhempas pulas sebelum layak ke pusingan 16, manakala pilihan tuan rumah, Coco Gauff, menempah pertemuan hangat menentang Naomi Osaka.

Turut mencuri tumpuan, pemain Switzerland Leandro Riedi yang menduduki ranking ke-435 dunia, melakar sejarah sebagai pemain paling rendah kedudukan mara ke pusingan keempat Grand Slam sejak 2002 selepas lawannya, Kamil Majchrzak, menarik diri akibat kecederaan. -AFP

SAHZAN FAZLI BIN ZAINUDDIN