fb fb fb fb fb

Piala Asia 2025: Sarjit tuntut kecergasan Speedy Tigers di pusingan Super Four

Ketua jurulatih skuad hoki lelaki kebangsaan, Sarjit Singh/ Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 31 Ogos - Ketua jurulatih skuad hoki lelaki kebangsaan, Sarjit Singh menyatakan harapannya agar barisan pemain kekal cergas dan bebas daripada sebarang kecederaan menjelang saingan pusingan Super Four Kejohanan Piala Asia 2025 di Bihar, India.

Pasukan Speedy Tigers telah berjaya melayakkan diri lebih awal ke pusingan tersebut selepas mencatat kemenangan kedua dalam aksi Kumpulan B menentang Korea Selatan semalam, meskipun masih berbaki satu perlawanan terakhir menentang Taiwan yang dijadualkan berlangsung esok.

"Hari ini perlawanan memang sukar. Pertama sekali, kita telah lawan dengan Korea dan ada beberapa kecederaan yang perlu kita pulihkan. Kita perlu berehat dan harap semua pemain dapat kembali cergas.

"Apa yang penting sekarang ialah kita perlu kumpul tiga mata, itu adalah matlamat utama kami dan yang paling penting ialah peringkat Super Four nanti.

"Sebab dalam Super Four, dalam masa lima hari kita kena main empat perlawanan itu memang sangat mencabar. Jadi harapnya kita kekal bebas daripada sebarang kecederaan sepanjang peringkat Super Four ini," katanya menerusi satu video yang dikongsikan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM).

Pasukan Speedy Tigers memulakan kempen Kumpulan B Piala Asia 2025 dengan langkah kanan apabila mencatat kemenangan bergaya ke atas Bangladesh 4-1 selepas bangkit daripada ketinggalan.

Momentum positif itu diteruskan dalam perlawanan kedua apabila mereka menewaskan Korea Selatan dengan keputusan 4-1 di Stadium Hoki Universiti Sukan Bihar.

Berdasarkan format kejohanan, hanya dua pasukan teratas setiap kumpulan akan mara ke peringkat Super Four, dan seterusnya, dua pasukan terbaik daripada Super Four akan berentap di perlawanan akhir yang dijadual berlangsung pada 7 September.

SAHZAN FAZLI BIN ZAINUDDIN