fb fb fb fb fb

Tengku Zafrul bakal Presiden BAM

(Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz)

KUALA LUMPUR, 14 Oktober - Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz diumumkan sebagai presiden baharu Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Bagaimanapun tarikh sebenar pelantikan Zafrul akan dibincangkan pada mesyuarat majlis yang akan datang pada Disember ini, kata Presiden BAM Tan Sri Mohamad Norza Zakaria.

Mohamad Norza berkata keputusan itu dibuat selepas mesyuarat majlis yang ketiga pada hari ini sekali gus menjawab spekulasi mengenai pengisian jawatan tertinggi BAM.

“Kami (ahli majlis BAM) menjangkakan pelantikan Tengku Zafrul akan dimuktamadkan pada Januari 2024,” katanya dalam satu sidang media hari ini.

Beliau optimis bahawa Tengku Zafrul mampu mengendalikan badan itu berdasarkan pengalaman luas menteri MITI itu dalam dunia korporat seblum terjun ke dunia politik.

Katanya, Tengku Zafrul berkebolehan meneruskan legasi yang ditinggalkan beliau sejak memegang jawatan itu pada 2017 sambil menambah maklum balas daripada pihak berkepentingan BAM juga positif.


Ogos lalu, Mohamad Norza mengumumkan akan melepaskan jawatan Presiden BAM pada hujung tahun ini selepas beliau mengumumkan akan meninggalkan badan induk itu selepas Sukan Olimpik Paris 2024 pada Julai lalu.

“Nasihat saya kepadanya ialah beliau perlu berusaha untuk memahami ekosistem badminton, bertemu semua pihak yang berkepentingan, jurulatih pentadbir dan pemain, untuk mendapatkan input mengenai apakah yang perlu diperbaiki.

“Saya tahu ia bukan suatu yang mudah (untuk menjadi Presiden BAM). Itulah sebabnya kami memerlukan seseorang yang cukup kuat dan bersemangat, untuk mengekalkan status kami sebagai salah satu kuasa badminton,” katanya.

Media Baharu