PUTRAJAYA, 14 Oktober - Peruntukan diterima sektor sukan menerusi Belanjawan 2024, disifatkan sebagai 'mesra industri sukan' kerana ia meliputi kepentingan semua pihak, kata Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh.
Menurut Hannah Yeoh meskipun peruntukan kali ini lebih rendah berbanding sebelum ini namun pengecualian cukai khusus, pembelian peralatan dan aktiviti sukan dapat memajukan lagi industri sukan tanah air.
"Kalau tanya saya berapa bajet yang saya nak memang saya rasa tambah RM2 bilion, saya rasa tak cukup, pada sayalah, tetapi berbanding dengan kesihatan pendidikan semua memang bajet kita kecil tetapi apa yang kita minta adalah 'game changer' seperti cukai, polisi cukai akan membantu kementerian kita menghadapi dan industri sukan mendapat manfaat," kata Hannah Yeoh dalam sidang media selepas Sambutan Hari Sukan Negara (HSN) peringkat kebangsaan di sini.
(Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh)
Hannah turut memberitahu, peruntukan bagi program podium menyaksikan peningkatan sebanyak 30% berbanding belanjawan lalu manakala peruntukkan bagi atlet para pula menyaksikan peningkatan sebanyak 20%.
Pada pembentangan Belanjawan 2024 semalam kerajaan mengumum peruntukan sebanyak RM72 juta bagi memperkukuh ekosistem atlet dalam Program Podium.
Ia termasuk RM20 juta bawah inisiatif Road to Gold (RTG) sebagai persediaan meraih emas pertama menjelang Sukan Olimpik Paris 2024.