RIO DE JANEIRO, 18 Julai - Ketua jurulatih baharu Bayer Leverkusen, Erik ten Hag, hari ini buat pertama kalinya tampil di hadapan media Brazil dan antarabangsa sejak mengambil alih pasukan gergasi Bundesliga itu.
Lawatan pramusim selama 10 hari ke Rio de Janeiro dari 14 hingga 24 Julai ini menjadikan Leverkusen sebagai kelab Jerman pertama mengadakan jelajah ke Amerika Selatan. Menerusi tema 'Esquenta!' atau pemanas badan, sesi latihan dijalankan di fasiliti milik kelab terkemuka Brazil, Flamengo.
Menurut laman rasmi Bundesliga, lawatan itu juga mengukuhkan lagi hubungan Leverkusen dengan Brazil, termasuk pelancaran saluran digital berbahasa Portugis dan pembukaan Akademi Bola Sepak Bayer 04 di São Paulo.
Ten Hag yang menggantikan Xabi Alonso pada Mei lalu turut menyatakan hasratnya mencari bakat baharu seperti Kai Havertz dan Florian Wirtz, dua bintang muda yang pernah mengharumkan nama kelab itu sebelum menyertai kelab-kelab gergasi Eropah.
“Kami sentiasa mencari bintang masa depan. Selepas Kai Havertz, datang Florian Wirtz. Mungkin Ibrahim Maza, pemain pertama yang kami tandatangani musim ini akan menjadi yang seterusnya. Tapi kami juga ada ramai lagi pemain muda yang sangat berbakat dan berpotensi besar,” katanya.
Ten Hag turut mengulas tentang peningkatan ketara dalam mutu bola sepak Brazil sejak beberapa dekad lalu.
“Kalau dulu, impian setiap pemain Brazil hanyalah ke Eropah. Tapi sekarang, bola sepak Brazil sudah banyak berubah. Akademi mereka semakin moden, kemudahan latihan semakin lengkap dan liga mereka juga semakin kompetitif bukan sahaja dari segi kualiti tetapi juga kemampuan kewangan. Sudah tidak semudah dulu untuk membawa pemain ke Eropah,” jelasnya.
Bayer Leverkusen dijadualkan menentang pasukan B-20 Flamengo dalam perlawanan persahabatan yang bakal berlangsung di Estadio da Gávea minggu ini.-REUTERS