LONDON, 18 Julai - Penyanyi rap terkenal Amerika, Snoop Dogg, kini secara rasmi menjadi pelabur dan pemilik bersama kelab bola sepak Swansea City di England.
Perkara itu diumumkan kelab tersebut pada Khamis, sekali gus menyaksikan penyanyi berusia 53 tahun itu bergandingan dengan pemain tengah Croatia, Luka Modric, yang turut menjadi rakan pemilik sejak April lalu.
Snoop Dogg sebelum ini mencetuskan spekulasi apabila muncul dalam kempen pelancaran jersi baharu kelab itu. Menerusi kenyataan di laman rasmi kelab, beliau berkata tertarik dengan latar belakang Swansea sebagai sebuah kelab dan bandar yang mewakili golongan pekerja serta semangat "underdog" yang kembali bangkit, sama seperti dirinya.
Pengurusan Swansea percaya pengaruh global Snoop Dogg mampu mengangkat jenama kelab ke peringkat lebih tinggi, sambil membantu membina pasukan yang lebih kompetitif.
Swansea ketika ini sedang berdepan cabaran kewangan, selepas mencatat kerugian pra-cukai sebanyak £15.2 juta tahun kewangan lalu. Mereka juga bakal berentap dengan kelab Wales lain, Wrexham, yang popular bawah pemilikan selebriti Hollywood, Ryan Reynolds dan Rob McElhenney.
Tidak mustahil, selepas Welcome to Wrexham, giliran "Doggumentary" Swansea pula menyusul.- REUTERS