fb fb fb fb fb

Ikon sukan ekstrem Austria, Felix Baumgartner maut dalam nahas luncur layar

Ikon sukan ekstrem Austria, Felix Baumgartner / REUTERS

PORTO SANT’ELPIDIO, 18 Julai – Ikon sukan ekstrem dunia, Felix Baumgartner, yang terkenal dengan aksi terjun bebas dari angkasa pada 2012, dilaporkan maut dalam satu nahas luncur layar bermotor di Itali tengah, semalam.

Baumgartner berusia 56 tahun.

Menurut polis tempatan, Baumgartner hilang kawalan ketika menerbangkan luncur layar bermotor di ruang udara Porto Sant’Elpidio, wilayah Marche, sebelum terhempas berhampiran kolam renang sebuah hotel.

Punca kejadian masih belum dapat dipastikan, namun Datuk Bandar Porto Sant’Elpidio, Massimiliano Ciarpella, memetik laporan awal yang menyatakan mangsa mungkin mengalami masalah kesihatan secara tiba-tiba ketika berada di udara.

Felix pernah mencipta sejarah pada 14 Oktober 2012 apabila terjun dari belon helium setinggi 38 kilometer di atas bumi, menjadikannya manusia pertama memecah halangan bunyi dalam terjunan bebas, mencapai kelajuan melebihi 1,343 kilometer sejam.

Terjunan bersejarah itu dilakukan di Roswell, New Mexico, tepat pada ulang tahun ke-65 penerbangan juruterbang legenda Amerika Syarikat, Chuck Yeager, yang memecah halangan bunyi pada 1947.

Digelar "God of the Skies", Felix memulakan kariernya sebagai penerjun payung sebelum menceburi sukan ekstrem seperti BASE jumping. Antara aksi beraninya termasuk terjun merentasi Selat Inggeris dan melompat dari Menara Berkembar Petronas di Malaysia.

Namun begitu, figura itu juga pernah mencetuskan kontroversi, termasuk kenyataan menyokong sistem pemerintahan diktator serta insiden pergaduhan dengan seorang pemandu lori di Austria pada 2010.

Pihak berkuasa kini menjalankan siasatan penuh berhubung nahas tersebut.-REUTERS

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE