SUZUKA, 16 September – Pasukan Johor Motorsports Racing (JMR) terus mengharumkan nama negara di pentas dunia.
Kali ini, dengan meraih dua kedudukan podium perlumbaan ketahanan Suzuka 1000 di Jepun, pada Ahad.
Dalam kategori Pro, jentera Corvette Z06 GT3.R gandingan Nicky Catsburg, Scott McLaughlin dan Alexander Sims menamatkan perlumbaan di kedudukan ketiga keseluruhan, menewaskan cabaran daripada 33 pelumba lain.
Bagi kategori Pro-Am pula, jentera bernombor 99 yang dipandu Tunku Panglima Johor Tunku Abdul Rahman Al-Haj Sultan Ibrahim, bersama Tunku Putera Johor Tunku Abu Bakar Al-Haj, serta Konsta Lappalainen, turut melakar sejarah dengan meraih tempat ketiga.
Mengulas pencapaian itu, Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman Hassanal Jefri Sultan Ibrahim memuji seluruh pasukan atas usaha keras yang dipamerkan sepanjang musim.
“Alhamdulillah, kedua-dua jentera JMR berjaya menamatkan perlumbaan di podium. Bagi kategori Pro, kami raih tempat ketiga, manakala dalam Pro-Am juga kami berada di tangga ketiga.
"Terima kasih kepada semua mekanik yang bekerja keras sepanjang tahun, inilah detik yang wajar dibanggakan apabila kita mampu bersaing dengan pasukan antarabangsa,” titah baginda menerusi satu temubual.
Kejayaan berganda di litar ikonik Jepun itu sekali gus menjadi bukti kemampuan JMR untuk terus memberi cabaran dalam saingan dunia.
