KUALA LUMPUR, 21 November -Beregu campuran negara, Chen Tang Jie–Toh Ee Wei terus mengekalkan momentum cemerlang apabila mara ke separuh akhir Terbuka Australia, sekali gus mengintai gelaran pertama Jelajah Dunia BWF musim ini.
Dalam aksi suku akhir di Sydney Olympic Park, mereka menundukkan pasangan Taiwan, Ye Hong Wei–Nicole Chan, 21-17, 21-15 dalam tempoh 37 minit.
Kejayaan itu turut menyaksikan rekod pertemuan memihak kepada Tang Jie–Ee Wei, dengan empat kemenangan daripada lima pertemuan menentang pasangan Taiwan berkenaan setakat ini.
Mereka kini menanti pemenang perlawanan antara satu lagi beregu Taiwan, Yang Po Hsuan–Hu Ling Fang, dan gandingan Thailand, Pakkapon Teeraratsakul–Sapsiree Taerattanachai, bagi perebutan tiket ke final.
Walaupun tampil cemerlang di pentas dunia apabila dinobatkan sebagai juara dunia di Paris Ogos lalu, Tang Jie–Ee Wei masih memburu gelaran pertama Jelajah Dunia musim ini.
Setakat ini, pencapaian terbaik mereka dalam sirkit Jelajah Dunia 2025 ialah muncul naib juara Masters China pada September.
Selain, mara ke separuh akhir di enam kejohanan iaitu Terbuka Denmark, Terbuka Macau, Terbuka Jepun, Terbuka Indonesia, Terbuka India dan Terbuka Malaysia.