fb fb fb fb fb

Tan Sri Mohd Daud kini pemilik saham majoriti KDA FC

ALOR SETAR, 5 September - Kedah Darul Aman Football Club (KDA FC) hari ini mengumumkan usahawan Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar, sebagai pemilik saham terbesar Darulaman Football Club Sdn Bhd.

Sebelum ini, Dr Mohd Daud merupakan Penaung KDA FC yang dilantik oleh Menteri Besar Kedah merangkap Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah KFA Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

"Beliau merupakan seorang usahawan dalam pelbagai bidang di samping memimpin beberapa agensi besar negara dan tepat pada masanya untuk membangunkan kelestarian kewangan, tadbir urus dan tata kelola, fasiliti, prasarana serta kualiti pemain dan kejurulatihan dalam KDA FC," menurut kenyataan KDA FC di sini hari ini.

Tambahnya, selaras dengan era penswastaan kelab bola sepak di Malaysia, penambahan pegangan saham dilihat strategi lebih dinamik untuk menarik lebih banyak peluang perniagaan di era bola sepak moden.

(Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar)

Dr Mohd Daud bergiat aktif memacu KDA FC sebagai penaung melalui pendanaan kelab serta jaringan besar dengan syarikat korporat.

"Fasa seterusnya peranan beliau akan lebih besar dengan menentukan hala tuju kelab bola sepak ke peringkat lebih tinggi.

“Kelab merakamkan penghargaan kepada Menteri Besar, kerajaan negeri dan KFA, dalam memacu dengan cemerlang pasukan bola sepak Kedah dengan memperoleh kejayaan tempatan dan serantau, terutamanya dari aspek kewangan dan kemudahan infrastruktur untuk kegunaan pasukan,” katanya lagi.

Pemilikan saham oleh individu seperti Dr Mohd Daud merupakan langkah awal KDA FC ke arah penswastaan sepenuhnya sebelum 2023.

Media Baharu