fb fb fb fb fb

Terbuka AS: Nadal tumbang awal, Swiatek jadi wanita Poland pertama ke suku akhir

(Iga Swiatek dari Poland semasa perlawanan pusingan ketiga perseorangan wanita kejohanan
tenis Terbuka AS 2022 menentang pemain Jerman Jule Niemeier / AFP)

NEW YORK, 6 September- Rafael Nadal tumbang kepada kekalahan terawal Terbuka AS dalam tempoh enam tahun pada Isnin apabila dia disingkirkan oleh Frances Tiafoe manakala Iga Swiatek menjadi wanita Poland pertama mara ke suku akhir.

Juara Terbuka AS empat kali, Nadal, yang membida kejuaraan Grand Slam ke-23, tewas 6-4, 4-6, 6-4, 6-3 dalam aksi 16 terakhir kepada Tiafoe yang berada di ranking ke-26.

Kekalahannya berlaku hanya sehari selepas pemain nombor satu dunia dan juara bertahan Daniil Medvedev juga disingkirkan pada pusingan keempat oleh Nick Kyrgios.

"Saya tidak dapat mengatasi Tiafoe, dia sangat baik dalam aksi kali ini," kata Nadal yang berusia 36 tahun.

"Dia sangat pantas dan sangat muda. Saya tidak berada dalam masa itu lagi."

Nadal menambah: "Saya tidak mampu meneruskannya. Dia lebih baik daripada saya."

Tiafoe, 24, akan menentang Andrey Rublev, yang ditewaskannya lebih lima set pada pusingan ketiga pada 2021, untuk merebut tempat ke separuh akhir.

"Saya sangat gembira, saya hilang kata-kata. Dia antara yang terhebat sepanjang zaman dan aksi hari ini adalah mengkagumkan," kata Tiafoe yang sebelum ini hanya mara ke satu suku akhir Slam di Australia pada 2019.

"Sesuatu yang istimewa berlaku hari ini. Sejujurnya ketika saya mula-mula masuk ke gelanggang, saya belum bersedia dari segi mental dan cukup matang,"katanya.

Juara Terbuka Perancis, Iga Swiatek bangkit daripada ketinggalan satu set untuk menewaskan lawan Jerman di ranking ke-108, Jule Niemeier, 2-6, 6-4, 6-0.

"Ia benar-benar memuaskan. Ini adalah suku akhir pertama saya di New York jadi saya sangat berbangga dengannya," kata Swiatek. - AFP


(Frances Tiafoe dari Amerika Syarikat memeluk Rafael Nadal dari Sepanyol selepas kemenangannya
semasa perlawanan pusingan keempat perseorangan lelaki pada Selasa / AFP)

Media Baharu