KUALA LUMPUR, 10 Julai - Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Tan Sri Hamidin Mohd Amin dinobatkan sebagai Tokoh Kepimpinan Sukan sempena Majlis Anugerah SAM-100PLUS 2024 atas sumbangan besarnya dalam membangunkan bola sepak negara.
Figura berpengaruh dalam arena bola sepak tanah air itu telah mendedikasikan lebih tiga dekad untuk memperkukuh ekosistem sukan berkenaan dari peringkat akar umbi hingga ke pentas antarabangsa.
Timbalan Presiden SAM, Izahar Atan menyifatkan pemilihan Hamidin sebagai Tokoh Kepimpinan Sukan amat tepat berdasarkan sumbangan beliau yang menyeluruh dan berimpak tinggi kepada bola sepak negara.
“Tan Sri Hamidin bukan sahaja mencurahkan kepakaran dalam pengurusan bola sepak, tetapi turut memperlihatkan semangat kepimpinan luar biasa yang menjadi inspirasi kepada banyak pihak.
"Ketegasan visi, keberanian membuat keputusan dan komitmen tanpa henti terhadap pembangunan bola sepak menjadi asas utama pemilihan beliau,” katanya menerusi kenyataan.
Karier beliau bermula pada 1995 sebagai Setiausaha Eksekutif Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) sebelum menjawat jawatan Setiausaha Agung FAS (1998–2013), menyaksikan pasukan itu meraih 18 trofi termasuk lima kejuaraan Piala Malaysia.
Hamidin kemudian dilantik sebagai Setiausaha Agung FAM sebelum dipilih menjadi Presiden pada 2018. Di bawah kepimpinannya, Malaysia layak secara merit ke Piala Asia 2023 selepas 43 tahun, hasil inisiatif pemain naturalisasi dan pembangunan struktur bola sepak negara.
Beliau juga pernah menyandang jawatan Timbalan Presiden Majlis Olimpik Malaysia dan kini mencatat sejarah sebagai Presiden FAM pertama dilantik Chef de Mission (CDM) ke Sukan Olimpik Paris 2024.
Majlis anugerah berprestij itu dijadualkan berlangsung pada 14 Julai ini di Petaling Jaya dan akan disempurnakan oleh Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.