fb fb fb fb fb

JCM 2025, platform kesan bakat pelapis negara – MSN

Kejohanan Junior Cycling Malaysia (JCM) 2025 terus menjadi landasan utama kepada Majlis Sukan Negara (MSN) dalam usaha mencungkil bakat baharu sukan berbasikal bawah 18 tahun / Foto FB Langkawi Development Authority

LANGKAWI, 10 Julai – Kejohanan Junior Cycling Malaysia (JCM) 2025 terus menjadi landasan utama kepada Majlis Sukan Negara (MSN) dalam usaha mencungkil bakat baharu sukan berbasikal bawah 18 tahun ke arah melahirkan lebih ramai juara di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Memasuki edisi ke-8, kejohanan itu bukan sekadar medan merebut gelaran juara, sebaliknya berfungsi sebagai platform pembangunan atlet muda yang konsisten dan berpotensi tinggi.

Menurut Pengarah Pengurusan Acara dan Sukan MSN, Mohd Safrushahar Yusoff atlet yang menunjukkan prestasi memberangsangkan akan terus dipantau dan diberi latihan berterusan sebagai pelapis kepada skuad kebangsaan sedia ada.

“Akhir siri nanti, kita akan dapat satu kelompok atlet terbaik yang akan dibawa ke peringkat seterusnya untuk pemilihan lebih mantap berbanding sebelum ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis pengenalan pasukan Junior Cycling Malaysia 2025, di sini.

Langkawi dipilih sebagai laluan perlumbaan tahun ini bagi memberi nilai tambah dan pengalaman berbeza kepada para peserta, selain menguji ketahanan mereka melalui laluan mencabar di pulau pelancongan itu.

Sebanyak 85 pelumba muda dari 15 negeri berentap merebut gelaran juara keseluruhan, Raja Pecut dan Raja Bukit menerusi tiga peringkat perlumbaan yang merangkumi jarak keseluruhan sejauh 197.9 kilometer.

JCM 2025 berlangsung selama tiga hari bermula hari ini.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN