LONDON, 10 Julai – Novak Djokovic terus memburu sejarah apabila mara ke separuh akhir Wimbledon buat kali ke-14, mencipta rekod baharu dalam kejohanan berprestij itu dan bakal berdepan pilihan utama, Jannik Sinner.
Pemain Serbia berusia 38 tahun itu bangkit daripada kekalahan set pertama sebelum menewaskan Flavio Cobolli 6-7(6), 6-2, 7-5, 6-4 untuk menempatkan dirinya hanya dua kemenangan lagi daripada mencipta sejarah Grand Slam ke-25 – satu pencapaian yang belum pernah dicapai dalam sejarah tenis profesional.
Sinner, lawan Djokovic seterusnya, tidak menunjukkan sebarang masalah dengan kecederaan sikunya apabila mengatasi cabaran pemain Amerika Syarikat, Ben Shelton 7-6(2), 6-4, 6-4.
Iga Swiatek / Foto AFP
Dalam aksi wanita, Iga Swiatek melakar sejarah peribadi apabila mara ke separuh akhir Wimbledon buat kali pertama selepas menundukkan Liudmila Samsonova 6-2, 7-5 dalam perlawanan suku akhir.
Pilihan kelapan dari Poland itu akan bertemu pemain bukan pilihan dari Switzerland, Belinda Bencic, yang menewaskan remaja Rusia, Mirra Andreeva 7-6(3), 7-6(2) untuk turut mencipta penampilan sulung di separuh akhir kejohanan Grand Slam gelanggang rumput tersebut.-REUTERS